Kos Sara Hidup Dijangka Terus Meningkat Tahun 2017 | JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
» ARTIKEL » Kos sara hidup dijangka terus meningkat tahun 2017

Kos sara hidup dijangka terus meningkat tahun 2017


Oleh: Dr. Mohd Yusof Saari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia
Email:
mysaari@gmail.com / yusofsaari_upm@upm.edu.my

Tahun 2016 baharu sahaja melabuhkan tirai pada beberapa hari yang lepas. Beberapa petunjuk ekonomi jelas memperlihat keadaan ekonomi tahun 2016 yang lemah dan bebanan peningkatan kos sara hidup yang dirasai isi rumah.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2016 dijangka bertumbuh pada kadar 4.3% berbanding 5.0% pada tahun 2015. Kadar pertumbuhan gaji dan upah dijangka akan menurun berbanding 5.4% pada tahun 2015 selari dengan penyusutan KDNK.

Sehingga November 2016, kadar inflasi tahun 2016 menurun sebanyak 0.1% kepada 2.0% tetapi harga makanan terus meningkat sebanyak 3.7%. Purata nilai Ringgit telah menyusut sebanyak 2.5% pada Disember 2016 berbanding dengan kadar purata pada Januari 2016, iaitu RM4.35 bagi setiap dolar AS.

Kadar gaji dan upah yang menyusut serta peningkatan harga makanan memberi tekanan kepada kos sara hidup isi rumah pada tahun 2016. Isi rumah turut terkesan secara tidak langsung akibat daripada penyusutan nilai tukaran Ringgit dan pertumbuhan sektor-sektor ekonomi yang perlahan. 

Bagaimana dengan prospek 2017? Prestasi ekonomi 2016 memberi isyarat awal bahawa wujud kecenderungan tinggi untuk kos sara hidup terus meningkat jika tiga perkara berikut tidak diberi perhatian. 

Pertama, tangani kenaikkan harga makanan secara menyeluruh dengan melakukan usaha-usaha yang terarah kepada perubahan struktur pengeluaran makanan yang bersifat oligopoli. Kajian kami di Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM) mendapati bekalan bahan mentah di sepanjang rantaian nilai pengeluaran makanan dipengaruhi secara langsung atau tidak langsung oleh beberapa firma bersaiz besar. 

Usaha-usaha ke arah menjadikan struktur pengeluaran lebih kompetitif melalui liberalisasi pasaran dilihat sebagai pilihan dasar yang efisyen untuk menurunkan harga makanan. Walaubagaimanapun, ucapan bajet 2017 tidak menyentuh dasar berkaitan liberalisasi pasaran makanan.

Kedua, tangani penyusutan nilai tukaran Ringgit dengan kadar segera. Penyusutan nilai Ringgit berbanding dengan dolar AS meningkatkan secara langsung dan tidak langsung harga makanan akibat daripada peningkatan harga bahan mentah yang diimport. 

Analisis mendapati bagi setiap Ringgit keluaran makanan yang diproses, RM0.11 mengandungi bahan mentah yang diimport. Manakala bagi setiap Ringgit keluaran makanan yang tidak diproses seperti sayur dan buah-buahan, RM0.28 mengandungi bahan mentah yang diimport.

Pengeluar makanan berkemungkinan menyerap kenaikan harga bahan mentah yang diimport jika nilai penyusutan Ringgit hanyalah bersifat sementara. Situasi nilai tukaran Ringgit yang melebihi paras RM4 bagi setiap dolar AS sejak Januari lalu tidak memberi banyak pilihan kepada pengeluar selain menaikkan harga barangan.

Ketiga, tangani struktur ekonomi yang bergantung tinggi ke atas sektor petroleum dan gas asli. Walaupun ada yang berpandangan bahawa ekonomi Malaysia telah pelbagai, kesan krisis harga minyak yang berlaku pada masa kini memberi isyarat yang jelas kepada kita tentang tahap kebergantungan kepada sektor petroluem dan gas asli. Pelbagai usaha ke arah mempelbagaikan aktiviti ekonomi yang mampan boleh dilakukan dan kebanyakkan peluang tersebut boleh dimaksimakan melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

Perlaksanaan strategi-strategi di atas mungkin bersifat jangka masa sederhana dan panjang. Terdapat beberapa pilihan jangka masa pendek yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup melalui pengawalan harga barangan. Contohnya, menunda terlebih dahulu perlaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas barangan utama sehingga ekonomi kembali stabil.

 

 

Dr. Mohd Yusof Saari

Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia

Email: mysaari@gmail.com / yusofsaari_upm@upm.edu.my 

 

Kemaskini:: 14/04/2017 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389468661
0389468723
T1508357450